Semasa

8 pelajar tingkatan satu dipanggil beri keterangan. Ini umur mereka “muda lagi”

POH: Polis telah mengenal pasti semua pelajar yang terlibat dalam kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar yang video insiden itu tular dalam media sosial hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tujuh suspek dan mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun itu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, turut dipanggil pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian itu.

“Pihak polis mengesan rakaman video yang tular berkaitan pergaduhan pelajar yang dikenal pasti berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar pada pukul 11.20 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal yang dilakukan mendapati kejadian itu berlaku semalam antara pukul 1 hingga 2 pagi melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan hari ini ekoran penularan video pergaduhan yang mendapat perhatian ramai.

Katanya, siasatan kes tersebut sedang dijalankan di mana polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat selain mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Mereka juga dinasihatkan tidak menularkan maklumat tidak sahih kepada umum sebaliknya disaran membuat aduan dan laporan kepada balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain di dalam asrama.

Video tersebut tular di Twitter dan mendapat perhatian warganet dengan tontonan sebanyak 528 ribu serta lebih kurang 30, 000 perkongsian.