Petaling Jaya: “Anak-anaknya sangat kuat dan menunggu kepulangan beliau (Yasin),” kata Zain Sulaiman, 50, abang kepada penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman yang dituduh mengedar dan menanam pokok ganja, hari ini.
Menurut Zain, kedua-dua anak Yasin yang berusia 17 dan 12 tahun sudah mengetahui keadaan bapa mereka bahkan, menaruh harapan tinggi untuk melihat lelaki itu kembali ke pangkuan keluarga.
Katanya, ahli keluarga mereka juga sentiasa mendoakan yang terbaik buat Yasin dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
“Saya mendoakan Allah SWT mempermudahkan segalanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini.
Sementara itu, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin memaklumkan lelaki itu melalui fasa perceraian dengan isteri yang memburukkan kesihatannya, namun dikelilingi ahli keluarga dan kenalan yang sentiasa memberi sokongan.
Katanya, Yasin juga tiada rekod negatif dan banyak memberi inspirasi kepada masyarakat menerusi karyanya sebelum ini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen dimaklumkan Yasin menghidap bipolar sejak 2009 dan memerlukan rawatan susulan, dengan rawatan terakhir diterimanya pada dua bulan lalu.
Yusmadi memohon pertimbangan mahkamah untuk rawatan anak guamnya, sebelum mahkamah mengarah perkara itu dibawa ke pengetahuan Jabatan Penjara.
Yasin hari ini menghadapi dua pertuduhan iaitu menanam 17 pokok ganja dan mengedarnya di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Mahkamah tidak membenarkan Yasin diikat jamin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati
YASIN didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Aizuddin Saad
Petaling Jaya: Penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dad4h jenis ganj4di kediamannya, pada 24 Mac lalu.
Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, penyanyi popular dengan lagu Mimpi Laila didakwa mengedar dad4h jenis ganj4 anggaran berat 214 gram.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dad4h Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Yasin mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.
Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff.
Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.