Kuala Lumpur: Remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu.
Mahkamah juga mendengar keterangan bahawa remaja itu tidak dibenarkan minum air selama beberapa hari kerana tidak mendengar cakap Siti Bainun.
Menurut keterangan saksi pendakwaan kelima yang juga penghuni rumah kebajikan itu, Yasmin Nahar Mahmood, Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.
Menceritakan lanjut kejadian itu, saksi berkata, beliau atau seorang lagi penghuni rumah terbabit dikenali sebagai Aida mengira jumlah cili padi berkenaan.
Yasmin menjawab soalan balas peguam Siti Bainun, Farhan Maaruf bersetuju bahawa cili padi itu diberi kepada Bella beberapa kali seminggu.
Farhan bertanyakan sama ada Siti Bainun mengeluarkan arahan untuk mengira jumlah cili itu secara spesifik dan Yasmin Nahar menjawab ‘ya’.
Peguam itu mempersoalkan adakah mangsa tidak mengalami sakit perut akibat memakan 80 cili jika diikutkan perkiraan mangsa diberi makan empat kali seminggu.
“Katakan Bella didera empat bulan, kiranya 1,280 cili padi disumbat dalam mulut Bella,” soal peguam itu.
Semalam, dalam keterangannya Yasmin berkata, Siti Bainun mendera remaja itu setiap hari selama hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.
Ditanya sama ada mulut Bella menunjukkan tanda melecet dan kemerah-merahan akibat makan cili padi itu, Yasmin berkata, terdapat kesan merah dan cili padi itu dibuang mangsa.
Mengenai isu Bella tidak dibenarkan minum air, saksi berkata, remaja itu curi-curi minum dan beliau pun memberikan Bella minum secara curi-curi.
“Siti Bainun juga arahkan saya pegang bahu Bella ketika berdiri dan menyuruh remaja itu untuk melutut dan diugut bagi air panas.
“Bella juga ada dihentak kepala di dinding, diejek dan diperbodohkan,” katanya.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mendera remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella, setiap hari selama hampir empat bulan.
Yasmin Nahar Mahmood, 18, penghuni Rumah Bonda, berkata, kejadian itu berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.
“Saya dan Aida (penghuni rumah itu) turut diarahkan oleh Siti Bainun untuk memukul Bella,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun pada perbicaraan kesnya yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu.
Menceritakan sikap Bella sewaktu beliau kali pertama berjumpa remaja itu, Yasmin berkata, pada mulanya Bella seorang periang dan suka bercakap tetapi dia berubah sikap apabila ternampak Siti Bainun.
“Bella takut sangat dengan Siti Bainun, sampaikan hendak keluar bilik pun dia takut-takut. Kena tengok kiri kanan,” kata Yasmin.
Saksi pendakwaan kelima itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Farhan bahawa beliau senasib dengan Bella.
Disoal peguam itu mengapa saksi tersebut tidak keluar dari Rumah Bonda, Yasmin menjawab: “Sebab Siti Bainun tidak bagi”.
Sementara itu, Yasmin memberitahu mahkamah terdapat juga penghuni lain yang didera oleh Siti Bainun selain Bella, yang dikenali sebagai ‘Kakak Hidayah’.
Saksi itu mendedahkan perkara itu selepas tidak bersetuju dengan cadangan Farhan bahawa tiada kejadian seumpama Bella yang terjadi pada penghuni Rumah Bonda lain mahupun anak angkat kepada pengasas rumah kebajikan itu.
Disoal Farhan, apa yang Siti Bainun lakukan kepada Kakak Hidayah, saksi itu menjawab: “Bila Kakak Hidayah tidak mendengar arahan Siti Bainun, Siti Bainun tidak membenarkan Kakak Hidayah memegang, melihat dan menyusukan anaknya”.
Yasmin juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa beliau inginkan layanan seperti puteri apabila tinggal di Rumah Bonda.
Menurut Yasmin, beliau perlu menjaga dan mengemas rumah kebajikan itu selain ditugaskan untuk mengemas tempat tidur dan mengurut Siti Bainun serta menyusun baju pengasas rumah kebajikan itu.
Semasa disoal sama ada saksi itu menyayangi Siti Bainun, Yasmin menjawab: “Sayang”.
Bagaimanapun, Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam terbabit bahawa perasaan sayang itu semakin berkurangan.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
SITI Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama.