Semasa

“Betul ke nyawa rakyat dah tak bernilai?” -Kecoh polis trafik dituduh halang ambulans sebab utamakan konvoi VVIP

KECOH di media sosial apabila rakaman video menunjukkan ambulans yang sedang membawa pesakit disekat daripada meneruskan perjalanan kerana dipercayai bagi memberi laluan kepada konvoi orang kenamaan (VVIP).

Menerusi video rakaman dashcam ambulans terbabit, kejadian berkenaan berlaku di jejambat Jalan Skudai Kiri, Johor Bahru, Johor kira-kira pukul 2.15 petang, Sabtu.

Pada ketika itu, ambulans berada di laluan bawah yang mempunyai tiga lorong, manakala konvoi VVIP bergerak dari atas jejambat dan melalui susur keluar di sebelah kiri.

Difahamkan, tindakan polis trafik berkenaan adalah bagi mengelak berlakunya kemalangan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Bagaimanapun, netizen menyelar tindakan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tidak wajar kerana terdapat pesakit di dalam ambulans.

Difahamkan, video tular itu dimuat naik sekali lagi dan dikongsi netizen bermula petang Ahad selepas video pertamanya dipadam.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mula memberi komen negatif dan mengecam tindakan dua anggota polis trafik di lokasi kejadian.

Ambulans membawa pesakit disekat daripada meneruskan perjalanan25

Antara reaksi negatif yang ditinggalkan netizen.

“Undang-undang Malaysia hanya untuk VVIP, nyawa rakyat dah tak bernilai di Malaysia. Tu pun jangan, kaki ampu VVIP masih berlambak lagi,” katanya.

“VVIP penting daripada ambulans, macam mana kalau yang dalam ambulans tu keluarga mereka… baru ada akal,” komen seorang lagi,

Sungguhpun dikritik hebat, namun terdapat beberapa pelayar media sosial yang menceritakan keadaan sebenar dan menjelaskan kewajaran tindakan yang dilakukan polis berkenaan.

Antara netizen yang menjelaskan insiden berkenaan

Antara netizen yang menjelaskan insiden berkenaan.

Salah seorang netizen yang mengakui berada di lokasi kejadian memaklumkan, polis trafik terpaksa menghentikan ambulans untuk seketika kerana terdapat kenderaan laju dari atas jejambat.

“Situasi sebenar ambulans ditahan, PDRM kosongkan jalan dari kenderaan yang laju atas jejambat dan ambulans dibenarkan jalan sebelum konvoi tiba.

“Lokasi jejambat Skudai Kiri. Saya seorang MA (pembantu perubatan) kerajaan dan setahu saya ambulans swasta biasa akan bawa pesakit tidak kritikal,” ujarnya.

Kenderaan lain memberi laluan kepada ambulans sehingga dihalang polis trafik

Kenderaan lain memberi laluan kepada ambulans sehingga dihalang polis trafik.

Seorang lagi netizen yang mengakui sebagai pemandu medik Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa, undang-undang perlu dipatuhi walau dalam apa jua situasi.

“Aku pilot medik KKM, bagi aku kes macam ni biasa… pesakit tu tagging apa? Ingat, undang-undang kena ikuit walaupun kita dalam apa jua situasi.

“Andai kata berlaku pertembungan bila ambulans lintas macam tu, lebih besar bencana menanti.

“Setakat nak kondem, siapa pun boleh tapi kena tahu anggota bertugas tak boleh sewenang-wenangnya lepas ambulans lalu dan dia kena minta kebenaran di point utama paling hadapan sebelum nak lepaskan ambulans supaya tidak berlaku pertembungan. Ini untuk mengelak terjadinya bencana,” jelasnya.