Semasa

“Dia haramkan saya post gambar anak-anaknya di IG” – Izreen Azminda

KEMELUT antara pelakon Izreen Azminda dan bekas madunya, Intan Liana Saleh bagaikan tiada kesudahan walau kedua-duanya kini bahagia bersama pasangan masing-masing.

Konflik membabitkan mereka kembali menjadi perbualan hangat netizen apabila masing-masing berbalas kenyataan di media sosial dengan luahan rasa tidak puas hati berkaitan hal anak-anak.

Susulan perang mulut itu, Izreen atau nama sebenar Izreen Azminda Aznam, 37, berkata Intan tidak membenarkan dia untuk berkongsi gambar anak-anak tirinya di Instagram.

“Tak perlulah saya komen lanjut kerana tidak mahu keruhkan lagi keadaan.

“Saya anggap perkara ini sudah selesai.

“Dia juga haramkan saya post gambar anak-anak dia di IG saya” katanya ketika dihubungi mStar.

Izreen bersama Ude dan dua anak mereka.

Pertikaian dikatakan berpunca apabila Intan melarang pelakon itu berkongsi gambar anak tirinya di media sosial.

Mereka dilihat memilih untuk berkongsi luahan rasa tidak puas hati itu menerusi IG Story masing-masing.

Dalam satu perkongsian sebelum ini, Izreen juga berkata dia terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan Intan bagi menyelesaikan segala sengketa antara mereka.

Untuk rekod, Izreen mendirikan rumah tangga dengan pemuzik Muhamad Radzi Abdul Wahid atau Ude pada Ogos 2017.

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aaron Ibrahim dan Ali Idrees.

Izreen juga mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Adrian Umar hasil perkahwinan terdahulu.

Ude merupakan bekas suami kepada Intan dan hasil perkahwinan terdahulu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Arish Muqri dan Ariq Muqri.

Intan berkahwin kali kedua pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan kerjaya lakonan, kata Izreen dia belum bersedia untuk kembali ke lokasi kerana usia anak-anak yang masih kecil.

“Saya hanya terima tawaran untuk terlibat dalam program televisyen sahaja kerana penggambaran tidak terlalu lama.

“Manakala untuk berlakon pula memang tidak terima lagi buat masa sekarang kerana mahu beri fokus kepada anak-anak.

“Saya menguruskan anak-anak sendiri tanpa menggunakan khidmat pembantu. Jadi susah untuk keluar dalam tempoh terlalu lama,” jelasnya.

Intan belum sedia maafkan Izreen

Terdahulu Bekas madu Izreen Azminda iaitu Intan Liana Saleh mengakui belum bersedia memafkan pelakon itu walaupun mereka sudah dipertemukan pada rakaman program Melodi Raya yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini.

Intan yang sebelum ini membisu selama beberapa minggu berkata, dia sudah menjelaskan perkara itu kepada pihak Melodi yang menjemputnya untuk muncul bersama Izreen menerusi segmen Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih.

Malah, Intan yang sebelum ini membisu selama beberapa minggu mengakui tahu mengenai segmen itu serta kehadiran Izreen pada sesi rakaman berkenaan termasuk tempat duduk mereka diletakkan pada meja yang sama tetapi bukan bersebelahan.

“Ingin dijelaskan sebelum bersetuju saya juga ada bertanya kepada pihak Melodi adakah akan berlaku sesi bermaafan, kerana seandainya ada saya belum bersedia untuk itu. Dan, saya diberitahu tidak akan ada sesi terbabit (bermaafan) dan sekadar datang sebagai jemputan.

“Sebagai orang biasa yang bukan berada dalam dunia hiburan, pemahaman saya adalah sekadar jemputan sahaja dan bukan untuk ditemubual. Tapi, apabila ia berlaku, saya jadi canggung di atas pentas serta di hadapan kamera kerana tidak bersedia,” katanya.

Menurut Intan baru kali ini dia membuka mulut dengan memberi penjelasan berikutan reaksi ‘canggung’ yang ketara di wajahnya dalam program Melodi Raya itu selepas menjadi bahan warganet.

“Sebenarnya, keadaan berubah di lokasi rakaman. Saya dimaklumkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, maka set berubah dan saya diminta untuk ditemubual bersama-sama Izreen bagi segmen itu.

“Apapun, perkara ini pada saya sepatutnya tidak perlu disensasikan mahupun dijadikan ruangan hiburan media kerana ia melibatkan hati dan perasaan. Saya pun bukanlah selebriti untuk dijadikan bahan topik, dan biarlah masa yang memulihkan segalanya.

“Buat masa sekarang, biarlah keadaan berjalan seperti sediakala yang mana masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Itu lebih baik untuk kedua-dua belah pihak,” katanya.

Dalam masa sama, Intan berkata penjelasan itu diharap dapat merungkai segala persoalan berkaitan isu berkenaan yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

“Tak perlulah lagi mengaitkan atau mencalarkan nama sesiapapun dengan merujuk hal ini pada masa hadapan,” katanya.

kredit: mstar