Semasa

“Saya tak bahaya sesiapa “- Gadis Berhijab Menari Kpop Tidak Hirau Di Kecam

Kuala Lumpur: Pempengaruh Sabrina Azhar, 22, mendapat liputan BBC World Service menerusi video temubual berjudul ‘Life of a hijabi K-Pop dancer’ disebabkan minat menari walaupun berhijab.

Video terbabit turut mendapat reaksi luar biasa dengan lebih 2.4 juta tontonan di Twitter sekali gus membuatkan Sabrina menjadi bualan di media sosial.

Gadis yang kini menetap di Seoul, Korea Selatan itu mendedahkan, minatnya itu tidak disambut baik warga maya dan kerap mendapat cemuhan.

“Saya mendapat mesej peribadi (DM) daripada seseorang yang cakap saya akan ke neraka. Saya yakin memakai hijab dan sukakannya tapi saya juga minat menari, jadi saya gabungkannya. Saya tak bahayakan sesiapa,” katanya.

Sabrina yang memiliki lebih 204,000 pengikut di YouTube dan 399,000 di Instagram meraih perhatian menerusi video-video tarian lagu-lagu K-Pop.

Dia pada mulanya ke Korea Selatan untuk menyambung pengajian, namun menyertai bidang penghasilan kandungan media sosial.

Menurutnya, ramai kurang senang dengan pendekatannya menghasilkan video menari dengan lenggok provokatif dengan berhijab.

“Kalau tanya sesetengah orang, mereka akan cakap perempuan Islam tidak patut menari sama sekali, tidak patut menyanyi tapi ada juga orang yang cakap sekarang adalah abad ke-21.

“Memang jelas kami (wanita berhijab) tidak dibenarkan ‘twerk’ (tarian menggoda). Kami tidak patut sekali pun tonjolkan diri di media sosial. Kami tidak patut menjadi objek tatapan lelaki apabila beraksi depan golongan lelaki,” katanya.

Sabrina bagaimanapun percaya dia tidak membahayakan sesiapa dan apa yang dilakukannya tidak salah.

“Saya tak boleh kawal apa orang nak kata. Saya cuma boleh kawal apa yang saya rasakan mengenainya. Jadi, saya memilih untuk abaikan komen membenci yang saya terima,” katanya.

Video berdurasi dua minit 18 saat itu turut mendapat lebih 9,200 ciapan semula, lebih 6,800 tanda suka, dan lebih 870 komen.

“I like my hijab and I like dancing.”

How this young K-pop dancer from Malaysia deals with hate comments

More on how K-pop conquered the world https://t.co/qR2LK84ua3 pic.twitter.com/topbD7Ujo8

— BBC World Service (@bbcworldservice) May 10, 2022