Kontroversi Azri Iskandar ingin berkahwin lagi selepas 25 hari bercerai dengan Ellie Suriaty, menyebabkan anak mereka, Azrell Omar Iskandar, tampil membuka mulut.
Video penjelasan di bawah artikel
Dihubungi Utusan Malaysia hari ini, Azrell memberitahu dia dan adik-beradiknya yang lain tidak begitu bersetuju dengan hasrat bapa mereka untuk berkahwin lain memandangkan perceraian dengan Ellie, masih terlalu baru.
“Secara dasarnya, kami adik-beradik tak setuju sangat. Iyalah, baru saja bercerai dengan mak yang masih dalam tempoh edah. Jadi bagi kami, faktanya ialah, dia macam tak hormat tempoh edah mak.
“Lagipun, saya, kakak-kakak dan abang, fikir sebenarnya ayah patut ambil masa selepas bercerai itu untuk fokus kerjaya dulu. Bukan terburu-buru untuk kahwin.
“Paling tidak pun, hormatilah tempoh ini,”katanya.
Selain itu, ditanya sama ada dia dan adik-beradik lain ada bercakap secara terus dengan ayah mereka berhubung perkara ini, Azrell menganggap perkara itu dibimbangi membawa salah faham.
“Kami dah cuba untuk cakap dengan dia, tapi macam takut dia salah faham.Takut dia terasa sebab boleh dikatakan sekarang ini, apa yang dia buat ini macam tanpa sedar.
“Contoh, pasal perempuan bernama F itu pun, saya pun tak tahu ayah saya main Facebook kenal dengan siapa. Tahu-tahu muncul cerita pasal F , itulah, inilah.
“Tapi kalau ya dia betul nak kahwin lain, tetap nak ikut cara dia, kami reda sajalah. Dah tak tahu nak cakap apa. Terus-terang, kalaulah dia boleh sekurang-kurangnya hormati tempoh edah ini, saya okey,”katanya.
Selain itu, kata Azrell, dia menaruh harapan besar seandainya benar wanita bernama Azra itu ingin diperisterikan oleh ayahnya, biarlah dia dapat menjaga bapa mereka itu dengan baik.
“Kalau betul impian dia nak berkahwin dengan perempuan itu, saya harap perempuan itu dapat menjaga dia. Jangan pandang sebab harta atau apa sebab kami selama ini pun, bukannya orang senang,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaan ibunya dari kaca mata sebagai seorang anak, Azrell menganggap ibunya itu seorang wanita yang kuat.
“Dia nak fokus pada benda-benda yang positif dan kerjayanya. Kalau dia nak pegang perasaan atau apa sahaja yang dia fikir tentang hal ini, saya rasa ia pun tak akan jadi bagus untuk dia.
“Sekarang ini pun dia tengah siapkan skrip untuk job barunya.Saya memang nasihatkan dia untuk fokus kerja dan kami semua, adik-beradik akan sentiasa bagi semangat dan sokong dia,”katanya.
VIDEO:
Untuk rekod, Azri dan Ellie Suriaty bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 17 Mei lalu.
Namun, selepas bercerai, muncul pula kenyataan Azri yang mengesahkan ingin mengahwini wanita pilihan yang juga merupakan seorang penulis skrip, Dr. Azra Diera, 43, bulan ini.
Menurut laporan media, dia bakal menghantar rombongan merisik pada 23 Jun ini.
Sumber : Utusan Online / MSTAR ONLINE
Nampak perubahan Azri
Meminta respon daripada pengarah dan pelakon Ellie Suriaty, dia tidak terkejut dengan berita itu. Tegas Ellie, 52, dia cukup mengenali Azri selama 19 tahun hidup bersama.
Saya tidak terkejut dan sudah boleh agak akan hal ini. Sebab itulah hati saya benar-benar bulat dan tekad untuk menarik diri daripada perkahwinan ini. Sebab saya dah rasa dia ada hubungan dengan wanita lain.
Dan, waktu saya failkan cerai, saya tak perlu tanya lagi untuk dapatkan apa-apa kepastian atau kesahihan. Sebab saya kenal dia sangat sebagai suami selama 19 tahun.
Selama tempoh itu, kita telah melalui segala susah senang bersama. Bila ada perubahan dalam rumah tangga, saya tahu hati dia ada pada orang lain dan bukannya dengan saya lagi.
Bukan baru kahwin setahun dua
Pemilik nama Ellie Suriaty Omar menyatakan naluri seorang isteri sangat kuat dan dia sudah dapat ‘menghidu’ hubungan Azri bersama wanita lain sebelum mereka membuat keputusan untuk berpisah.
Sebelum bercerai, saya telah ambil keputusan yang cukup lama untuk memikirkan baik dan buruknya.
Bahkan saya sudah memohon petunjuk daripada Allah SWT. Azri tidak tahu yang saya tahu apa dia lakukan di belakang saya.
Tapi, naluri seorang isteri itu sangat kuat. Kita sendiri dapat rasakan banyak perubahan yang sangat ketara. Lagipun kita bukan baru kahwin setahun dua.
Saya tak nafikan anda ramai perempuan di luar sana yang jauh lebih baik daripada saya. Tapi mereka bukan Ellie Suriaty yang sangat faham siapa Azri Iskandar.
Dalam pada itu, Pemenang Anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-26 menerusi filem Penanggal memilih untuk meneruskan kehidupan dengan memberi tumpuan terhadap kerjaya seni dan anak-anak.
Lebih baik saya teruskan kehidupan ini demi anak-anak dan tumpukan perhatian kepada kerjaya seni saya. Sebab hidup ini terlalu bermakna untuk kita serabutkan otak dengan hal-hal sebegini.
Untuk rekod, Azri bercerai dengan Ellie Suriati pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun hidup bersama.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13.
Sumber: Getaran